Monday, January 18, 2010

GERHANA MATAHARI SUATU PERINGATAN

“ GERHANA MATAHARI SATU PERINGATAN ”
(15 JANUARI 2009 / 29 MUHARRAM 1431H)



Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,

Saya menyeru dan berpesan kepada diri saya sendiri dan juga sidang Jemaah sekalian, agar kita sama-sama meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan melakukan segala suruhan-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga kita berjaya di dunia dan di akhirat. Sempena kejadian gerhana matahari pada petang ini, mimbar akan membicarakan tajuk: “Gerhana Matahari Satu Peringatan ”.


Muslimin Muslimat Yang Dimuliakan,

Sesungguhnya kejadian gerhana bulan dan matahari adalah dua tanda yang membuktikan bekesaran, keluasan, kehebatan ciptaan, dan kasih sayang Allah SWT kepada umat manusia. Dua minggu lalu kita menyaksikan kebesaran Allah SWT melalui kejadian gerhana bulan. Hari ini, kita sekali lagi berpeluang menyaksikan pula kejadian gerhana matahari yang jatuh pada hari Jumaat di bulan Muharram 1431.

Dengan mengamati kehebatan dan kesempurnaan sistem perjalanan bulan dan matahari ini, maka akan semakin tinggi ketaqwaan kita kepada Allah SWT. Walaupun ada di kalangan sesetengah pihak mengatakan kejadian ini sebagai fenomena astronomi dan sifat alam semulajadi, tetapi Islam mengajar umatnya agar menjadikan kejadian yang jarang-jarang berlaku ini sebagai peluang meyingkap tanda keagungan dan kebesaran Allah SWT.

Allah SWT telah banyak menyebut tentang kebesaran dan kekuasaan-Nya ke atas kejadian langit, bumi dan apa juga yang ada di antara kedua-duanya. Tidak ada satu zarah pun dari alam cakerawala ini yang terlepas dari pengawasan Allah termasuk matahari. Tabiat matahari yang beredar di atas paksinya adalah bukti kepatuhan makhluk ini kepada ketentuan Allah SWT.

Firman Allah SWT dalam surah Yaasin ayat 38-40:

Maksudnya: “Dan matahari; ia kelihatan beredar ke tempat yang ditetapkan baginya; itu adalah takdir Tuhan yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui.”

Menginsafi betapa kehebatan kejadian di alam ini, maka Islam menganjurkan umatnya mendirikan solat khusus sempena kejadian gerhana matahari. Hakikatnya, kejadian ini memberi banyak pengajaran khususnya dalam mengukuhkan hubungan kita dengan Allah SWT.

Muslimin Muslimat Yang Dimuliakan,

Gerhana matahari yang berlaku adalah perintah Allah untuk mengingatkan manusia supaya bertaubat, memohon ampun dan sentiasa membesarkannya. Perbuatan ini adalah sunat muakkad kerana Rasulullah SAW pernah melakukannya ketika berlaku gerhana matahari. Apabila terjadinya gerhana matahari, baginda SAW bergegas ke masjid menyeru kaum muslimin untuk bersama solat gerhana matahari. Selesai daripada solat, baginda SAW naik ke mimbar menyampaikan khutbah yang mengandungi nasihat yang sangat penting. Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan daripada Abi Bakrah r.a:


Mafhumnya: “Sesungguhnya matahari dan bulan adalah dua tanda dari tanda-tanda kekuasaan Allah. Terjadinya gerhana matahari atau bulan itu bukanlah kerana kematian seseorang atau kehidupannya. Maka jikalau kamu melihatnya bertakbirlah, berdoalah kepada Allah, bersolatlah dan bersedekahlah. Wahai umat Muhammad, tidak ada yang lebih cemburu (marah) mengatasi kemarahan Allah atas perbuatan zina di kalangan hamba-Nya sama ada lelaki atau perempuan. Wahai Umat Muhammad, demi Allah, jika kamu mengetahui apa yang aku ketahui, nescaya kamu akan sedikit ketawa dan banyak menangis”. (Hadith riwayat Muslim)

Antara intisari nasihat baginda ini ialah pertama, meningkatkan keimanan dan ketaqwaan serta berserah diri hanya kepada Allah; kedua, banyak merenung rahsia ciptaan Allah supaya memperoleh rasa cinta yang tinggi; ketiga, berwaspada menghadapi fitnah zina; dan keempat, kemuncak taqwa ialah kurangkan keseronokan dan banyakkan keinsafan.

Muslimin Muslimat Yang Dimuliakan,

Perlu kita insafi bahawa sekalipun matahari adalah makhluk Allah yang hebat dan tidak pernah derhaka kepada Allah, namun ia tidak terlepas daripada ujian dan dugaan Allah. Justeru, tidak hairan manusia yang merupakan makhluk kerdil ini pun ditimpa pelbagai kesulitan dan kepayahan; lebih-lebih lagi di kalangan mereka yang menderhakai Allah SWT.

Firman Allah SWT dalam surah al-Mu’min ayat 58:

Maksudnya: “Dan sememanganya tidaklah sama orang yang buta dan orang yang celik, dan juga tidaklah sama orang yang beriman serta beramal salih dengan orang yang melakukan kejahatan. Sedikit sangat kamu beringat dan insaf.”

Ayat tadi mengingatkan bahawa seseorang itu tidak akan ditimpa mudarat kecuali pada dua perkara. Pertama, mereka enggan atau lalai mengingati kebesaran Allah SWT; dan kedua, mereka ingkar mematuhi perintah dan tegahan Allah SWT. Ingatlah, golongan yang lalai daripada mengingati Allah adalah golongan yang rugi sepanjang hidup dan tertutup pintu ke syurga. Manakala golongan yang ingkar perintah Allah adalah golongan yang melakukan maksiat dan terbuka untuknya pintu ke neraka.

Mengakhiri khutbah ini, mimbar sekali lagi menegaskan bahawa kejadian gerhana matahari ini memberi iktibar kepada kita beberapa perkara iaitu:

(1) Menambah keyakinan kita bahawa sekalian makhluk adalah di bawah penguasaan
Allah.
(2) Menunjukkan bahawa kita sentiasa terdedah kepada cubaan dan dugaan Allah.
(3) Memperlihatkan bayangan peristiwa yang akan berlaku pada hari kiamat kelak,
dan
(4) Kedatangan azab Allah bukan sahaja terkena kepada yang berdosa, malah kepada
mereka yang salih.
(5) Berdoa sewaktu melihat kebesaran Allah adalah amalan golongan solihin.

Oleh yang demikian, marilah kita bersama-sama menghidupkan sunnah Rasulullah SAW kerana ia adalah jalan yang membawa kesejahteraan di dunia dan di akhirat. Semoga dengan itu kita lebih bertaqwa dan mendapat kedudukan yang mulia di sisi Allah SWT.

Maksudnya: “Dan tiada yang menghalang Kami dari menghantar turun mukjizat yang mereka minta itu melainkan telah didustakan oleh kaum-kaum yang telah lalu; dan Kami telah berikan kepada kaum Thamud unta betina sebagai mukjizat yang nyata, lalu mereka berlaku zalim kepadanya; dan biasanya Kami tidak menurunkan tanda-tanda itu melainkan untuk menjadi amaran.”. (Sural al-Israa’: 59)


Khutbah Kedua

Maksudnya: “Ia bertanya (secara mengejek): Bilakah datangnya hari kiamat itu? Maka (hari kiamat akan datang) apabila pandangan menjadi berpendar-pendar (kerana gerun takut). Dan bulan hilang cahayanya. Dan matahari serta bulan dihimpunkan bersama. Maka pada hari itu, berkatalah manusia: Ke manakah hendak melarikan diri? Tak usahlah bertanya demikian! Tidak ada lagi tempat perlindungan! Pada hari itu, kepada Tuhanmulah sahaja terserahnya ketetapan segala perkara.”

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...