Thursday, April 06, 2006
Fragmen Novel - Sepi Tanpa Cinta
Haziqah berjalan mundar-mandir di ruang tamu. Suasana bising di segenap sudut rumah langsung tidak menarik minatnya. Dia gelisah. Sudah berkali-kali dia cuba menghubungi Yusri. Namun, tidak berjaya. Dia risau seandainya ada perkara buruk yang berlaku di saat perkahwinan mereka hampir tiba dua hari lagi. Tetamu yang datang di rumahnya untuk merewang sudah semakin ramai. Malah majikan tempat ibunya, Aminah yang bekerja sebagai pembantu rumah juga turut hadir untuk membantu menyediakan persiapan sebelum pernikahan. Puan Haryati memang baik. Apa sahaja keperluan Haziqah semua disediakan walaupun kini ibunya sudah berhenti kerja.
“Macam mana Ziqa? Dapat tak kau hubungi Yusri?” Sumaiyah kawan Haziqah muncul dari muka pintu.
“Manalah Yusri pergi ni? Aku risaulah,” adu Haziqah bersama keluhan kecil. Emaknya, Aminah yang sedang sibuk menyiapkan bunga telur bersama jiran-jiran di satu sudut rumah sekadar memandang ke arah mereka. Kemudian dia menyambung kembali kerja-kerja menyediakan barang hantaran. Di hati Aminah, perasaan risau turut bertandang. “Aku cuma berharap Yusri ada di waktu pernikahan kami nanti.” Kata-kata Haziqah kedengaran perlahan.
“Kau jangan main-main Ziqa! Majlis pernikahan kau sekarang ni cuma tinggal dua hari saja lagi.”
“Aku tahu!” “Habis tu? Kau kena cari Yusri hari ni jugak. Sekurang-kurangnya kau tahu kat mana Yusri berada!”
“Betul ke Yusri tu ikhlas ajak kau kahwin ni? Entah-entah Yusri tu...”
“Entah-entah apa?”
“Dari dulu lagi aku pernah cakap yang aku tak suka kau berkawan dengan Yusri. Kau ingat, kan?”
“Bila Yusri mula melamar kau, aku dah mula syak yang Yusri tu tak serius. Aku rasa Yusri tu sengaja ambil kesempatan sebab kau popular kat kampung kita ni.” Haziqah kembali duduk di kerusi. Gelisah dan resah berbaur menjadi perasaan yang sukar digambarkan.
“Macam mana kalau tiba-tiba Yusri buat perangai sebelum majlis kau ni berlangsung? Apa kau nak buat?”
“ASSALAMUALAIKUM. “Waalaikumussalam.”
“Kak Ziqa, ada tak Kak Sue?” “Ada kat dalam. Kenapa?”
“Abang Yusri kirimkan Kak Ziqa bungkusan dan surat ni.” “Mana Abang Yusri?” Ijat hanya menjungkitkan bahu.
“Habis, Ijat ambil barang-barang ni daripada siapa?”
“Ada orang suruh hantarkan.”
“Siapa?”
“Entah... Ijat tak kenal.”
“Hmm... tak apalah.” Sumaiyah meneliti sepucuk surat di tangannya dan bungkusan kecil yang berbalut kemas itu sebelum menapak masuk ke dalam rumah.
“Siapa Sue?” Tiba-tiba Haziqah muncul. Sumaiyah menunjukkan surat dan bungkusan kecil itu. “
" Untuk siapa?” tanya Haziqah.
“Kau.”
“Daripada siapa?”
“Yusri.” Dengan rasa berdebar dia mencapai. Hatinya rasa tidak menentu. Gementar, risau dan gundah mula bercampur menjadi satu.
Ziqa,
Memang payah untuk Yus membuat keputusan. Berjaya mendapat cinta Ziqa adalah satu anugerah yang terindah buat Yus yang akan Yus kenang sampai bila-bila. Tapi... maafkan Yus. Perkahwinan ini tidak dapat diteruskan. Bohonglah seandainya Yus katakan yang Yus sanggup menerima Ziqa di atas apa yang telah berlaku.
Yus bukan lelaki yang sanggup menerima kelemahan orang lain. Apa yang Yus mahukan adalah kesempurnaan dan Yus tak dapat menerima kenyataan seandainya isteri yang bakal menghuni dalam hidup Yus sebenarnya sudah tiada serinya lagi. Cukuplah sampai di sini hubungan kita. Anggaplah Yus menolak Ziqa kerana kita masih muda dan mentah. Tidak mampu meneraju sebuah bahtera perkahwinan yang murni itu bersama...
Yusri
KENAPA kau buat aku macam ni Yusri? Apa salah aku sampai kau sanggup fitnah aku sebegitu rupa? Aku malu! Sampainya hati kau! Haziqah merintih. Kerana fitnah yang kau cipta itu, maruahku mula dipersoalkan oleh orang kampung! Kesucianku pula diperkotak-katikkan! Sedangkan kau tahu aku tak mungkin akan menjadi perempuan semurah itu. Sanggup kau tinggalkan aku bersama dengan tanda tanya di benak semua orang. Emak! Emak seolah-olah tidak mempercayaiku lagi.
Emak jatuh sakit dengan kandungan surat tempoh hari. Dan kini, hidupku telah musnah. Tempat yang sepatutnya kau huni sebagai suami itu telah digantikan dengan orang lain. Aku terpaksa bernikah dengan lelaki yang aku tidak kenal hati budinya. Betapa terseksanya aku waktu ini! Kau sepatutnya tahu Yusri...
“PUASLAH hati kau! Kau beli jiwa mak aku, lepas tu kau suruh mak aku paksa aku kahwin dengan kau demi menutup malu keluarga kau!” Jeritan lelaki itu begitu memeranjatkan Haziqah yang sedang bersendirian di bilik. Air mata yang sudah kering, mula bertakung lagi. Haziqah berpaling perlahan. Fakrul nampak kusut walaupun lengkap berbaju Melayu Teluk Belanga yang dipakai sewaktu majlis akad nikah berlangsung tadi. “Perempuan murah!” jerkah Fakrul.
“Jangan tuduh saya macam tu!”
“Habis, apa yang kau nak aku cakap? Memang perempuan murahlah namanya kalau tunang sendiri tuduh yang kau dah tak suci!” Haziqah ingin berkata sesuatu tetapi tidak jadi apabila melihat Fakrul melangkah ke bilik mandi. Lantas kata-kata amarah emaknya dua hari lalu menerjah kembali ke ingatan.
“Mak tak sangka kau macam ni! Kau ingat diri kau tu apa Ziqa? Kita ni perempuan kampung. Kenapa kau sanggup gadaikan maruah kau?”
“Ziqa tak lakukan mak!”
“Jangan nak tipu mak! Kalau kau tak lakukan, Yusri takkan tinggalkan kau!”
“MACAM mana kita nak berdepan dengan orang kampung Ziqa?” Haziqah tidak mampu menjawab Hanya air matanya yang bergenang.
“Kau pergilah beritahu orang kampung yang majlis kau dah tak jadi. Pengantin dah putus tunang! Mak tak nak fikir apa-apa lagi. Mak dah terlalu malu dengan perangai kau ni!” “Mak!” “Tak baik cakap macam tu Kak Minah,” sampuk Puan Haryati cuba meredakan keadaan.
“Apa yang aku cakap tu, memang kenyataannya Yati. Aku malu nak mengaku dia sebagai anak!”
“Ziqa sanggup buktikan pada mak yang Ziqa masih suci!” Puan Haryati dan Tuan Fuad bertukar pandangan.
“Macam mana kau nak buktikan? Kau tu perempuan yang dah tak suci! Tak ada siapa pun sanggup bertanggungjawab terhadap kesalahan kau!”
“Kalau mak nak tahu sama ada Ziqa masih suci atau tak, Ziqa akan berkahwin jugak dua hari lagi! Majlis Ziqa akan tetap berjalan!” Bibir masing-masing terkunci. Menanti kata-kata Haziqah yang seterusnya.
“Ziqa akan berkahwin dengan sesiapa saja. Mak carikanlah calon suami untuk Ziqa.”
“Kau dah gila agaknya Ziqa! Kau ingat berkahwin ni main-main?”
“Ziqa tak sanggup nak terima tuduhan sehina itu. Ziqa tak nak orang kampung memfitnah Ziqa. Ziqa akan tetap berkahwin asalkan mak dapat tahu yang Ziqa masih suci!” Aminah melepaskan nafas deras.
“Kau jangan nak mengarut!” Haziqah berpaling pantas ke wajah Puan Haryati dan Tuan Fuad.
“Makcik, pakcik. Tolonglah Ziqa. Ziqa nak buktikan yang Ziqa tak bersalah. Makcik dan pakcik carikanlah seorang lelaki yang sanggup berkahwin dengan Ziqa.”
“Kau pergi masuk ke bilik Ziqa!” pintas Aminah lagi.
“Ziqa merayu. Carilah sesiapa pun. Ziqa tak kisah! Ziqa nak buktikan yang kata-kata Yusri tu hanyalah tuduhan. Ziqa masih suci makcik,” ucap Haziqah sambil melutut di hadapan Puan Haryati. Dia menangis tersedu-sedu.
“Ya ALLAH Ziqa! Bangun nak! Jangan melutut macam ni,” pujuk Puan Haryati. Namun, saat itu Haziqah sudah tidak menghiraukan apa-apa lagi. Dia hanya mampu menangis dan merayu-rayu. Meratap pilu.
“Tak reti kenang budi. Nama saja orang kampung tapi berlagak nak jadi macam orang bandar.” Lamunan Haziqah hilang. Dia tidak menoleh ke arah Fakrul walaupun sekali. Dia rasa bersalah dengan Fakrul dan keluarga Puan Haryati.
“Jangan ingat aku terima kau, sebab aku nak tolong kau! Pergi jahanamlah! Tak pernah terlintas langsung dalam hati aku ni yang perempuan kotor macam kau boleh jadi isteri aku. Kalau tak kerana umi aku, jangan haraplah aku nak terima kau!” Kasar kata-kata Fakrul.
“Kalau awak tak setuju... kenapa awak terima?” Kekusutan yang sedang melanda ditambah lagi dengan tuduhan dan jerkahan Fakrul. Dia semakin tertekan. Harapan hanya tinggal harapan.
“Aku tak boleh tinggal kat sini. Makin lama aku tengok muka kau, makin panas hati aku ni.” Fakrul segera mencapai beg pakaiannya. Baju-baju yang dibawa sejak semalam tidak terusik. Tanpa menunggu lama, Fakrul berlalu. Namun, sewaktu kakinya tiba di muka pintu, Fakrul kembali memusing.
“Aku rasa, hukuman gantung tak bertali memang sesuai aku gantungkan pada leher kau waktu ni! Ini satu hukuman supaya kau tahu betapa seksanya hidup apabila mempermainkan perasaan lelaki,” ucap Fakrul menyebabkan Haziqah berpaling. Tetapi ketika itu Fakrul sudah hilang di sebalik pintu. Ya ALLAH! Hukuman gantung tak bertali? Benarkah apa yang aku dengar tadi? Apakah begini berakhirnya kehidupan aku? Saat itu air mata Haziqah gugur lagi. Perlahan dan kemudian lebat bagai hujan yang mencurah-curah.
Fakhrul menekan brek sepantas mungkin. Honda CRV yang dipandu dengan kelajuan 150km/j menyebabkan keretanya hampir merempuh kereta Wira di hadapannya. Terkejut dan cemas hadir dengan tiba-tiba apabila bunyi brek kedengaran begitu kuat. Saat itu bunyi hon dari pelbagai sudut juga membingitkan suasana.
ARGHH! Bodohnya aku! Kenapa aku tak membantah permintaan umi? Kenapa aku biarkan hidup aku semakin kusut dengan menerima perempuan sehina itu sebagai isteri? Fakrul bagai menangisi penyesalan yang datang.
“Tolonglah umi, Rul. Umi merayu pada kau... terimalah Ziqa sebagai isteri. Bantulah Makcik Minah supaya keluarga mereka tidak mendapat malu.
” Fakrul mengenang kembali kata-kata uminya malam tadi. Perbualan singkat yang bermula dengan perbincangan akhirnya menjadi sejarah yang tidak mungkin dilupakan. “Umi nak kau gantikan tempat tunangnya, itu aje!” Kata-kata itu membuatkan Fakrul tersentak. Hampir tersedak air yang diminumnya.
“Kenapa Rul pulak yang harus berkorban? Dah tak ada lagi ke lelaki lain kat kampung tu?” soal Fakrul.
“Kita aje yang paling dekat dengan keluarga Makcik Minah. Majlis tu hanya tinggal esok aje Rul. Malu kalau dibatalkan. Orang kampung banyak dah mengata. Umi kasihankan Makcik Minah kau.”
“Ah, Makcik Minah tu hanya bekas orang gaji kita aje. Apa yang umi nak sibukkan?” pintas Fakrul kuat membuatkan Puan Haryati bingkas.
“Jangan kurang ajar, Rul! Umi tak pernah anggap Makcik Minah kau sebagai orang gaji.” Fakrul terdiam lama.
“Umi tak kisah! Apapun yang terjadi, esok kao kena kahwin dengan Ziqa! Kalau kau tak ikut cakap umi... umi akan anggap yang kau dah menderhaka pada umi.”
“MANA Ziqa? Kenapa kau tak bawa dia sekali, Rul?” tanya Puan Haryati sewaktu ternampak Fakrul terpacul di pintu banglo sederhana mewah itu.
“Rul, umi tanya ni. Mana Ziqa?” ulang Puan Haryati lagi apabila soalannya tadi dibiarkan sepi. Fakrul yang baru sahaja ingin menapak ke anak tangga terus terhenti di situ. Dia berpaling menatap wajah uminya.
“Rul dah pun ikut cakap umi. Sekarang ni, umi pulak yang kena ikut cakap Rul.” “Apa maksud kau?”
FAKHRUL memusingkan badannya ke kiri dan ke kanan. Tetap gagal untuk melelapkan mata biarpun biliknya sudah ternampak raut Azura sedang tersenyum kepadanya. Dan apabila wajah Azura menghilang, dia teringatkan Haziqah pula.
“Ah, kenapa mesti rasa bersalah? Aku telah lakukan apa yang sepatutnya!” Fakrul cuba menyedapkan hati.
“Tak baik Rul! Berdosa seksa anak gadis orang macam tu.” Entah mengapa telinga Fakrul bagaikan terdengar ada suara orang berbisik-bisik. Fakrul bingkas. Memerhati sekeliling bilik yang sunyi sepi dan gelap itu.
“Haziqah dah sah jadi isteri kau! Kenapa mesti seksa dia lagi? Dia dah cukup menderita dengan keadaan yang menimpa! Kenapa harus ditambah lagi penderitaannya?” Bisikan itu makin hampir di telinganya.
“Dia dah tak suci!” “Kau pasti dengan tuduhan tu?” Fakrul diam seketika.
“Kalau tak tahu, kenapa harus menghukum Ziqa dengan tuduhan yang kau sendiri tak pasti? Tak adil namanya!”
“Memang patut pun dia dihukum macam tu. Perempuan yang mempermain-mainkan perasaan lelaki.”
“Kau marahkan Azura sebenarnya, Rul! Kau menghukum Ziqa dengan kesalahan yang Zura buat.” `Ah! Pedulikan semua tu! Aku tak nak fikir tentang dia. Aku nak tidur!'
“MAK,” tegur Haziqah sambil menolak pintu bilik Aminah. Saat itu juga dia ternampak emaknya sedang berbaring dengan batuk yang tidak henti-henti. Haziqah pantas menuju ke arah Aminah. Tangannya ingin menepuk belakang Aminah, meredakan batuk yang sejak tadi bagaikan tidak mahu berhenti.
“Tak apalah Ziqa. Tak payah susah-susah. Mak ni dah tua, agaknya dah sampai masa mak,” ucap Aminah.
“Jangan cakap macam tu, mak!”
“Sudahlah Ziqa. Kau pergilah tidur. Mak tak apa-apa ni. Pergilah berehat.”
“Ziqa nak temankan mak.” “Tak payah. Kau pergilah temankan Fakrul!” “Dia... err... dia ada kat dalam bilik mak,” jawab Haziqah teragak-agak.
“Kalau macam tu kau pergilah keluar. Tanya apa-apa yang dia nak. Takut Fakrul tak selesa tinggal kat rumah buruk kita ni. Dia dah biasa hidup senang,” ujar Aminah. Haziqah sekadar mengangguk. Hatinya jadi pilu dengan sendiri. Dia terpaksa membohongi emaknya sedangkan Haziqah sendiri tahu yang Fakrul telah pergi.
“I Nak you buat semula. From A to Z. Kalau ini hasil yang you nak berikan pada client... just forget it. You mau kasi saya malu ka?” Kemarahan Puan Chan bagaikan terdengar-dengar lagi. Fakrul menghempaskan pelan seni binanya ke atas meja. Hatinya panas. Sejak kebelakangan ini, ada sahaja yang tidak kena dengan rekaan seni binanya. Ah, kerja dengan majikan perempuan memang menyusahkan!
“Weh, Fakrul! Kau tak nak makan ke? Join us?” jerit Anand rakannya yang sudah bergerak keluar bersama-sama Stephen dan Kassim.
“Tak apalah Anand. Aku tak lapar. Kau orang pergilah,” tolak Fakrul.
“Hah Fakrul! You tak keluar lunch hari ni ke?” Fakrul terkejut. Wajah Puan Chan tidak lagi kelihatan seperti singa yang ingin melapah mangsa.
“Tak Puan Chan. I tak ada selera.”
“Fakrul, you jangan ambil hati dengan apa yang I katakan tadi. I just want you to think. Prestasi kerja you sejak akhir-akhir ni merosot. If you have any problem, you musn't let it affect your work.”
“PERANGAI you semakin berubah, Zura. Cuba cakap... apa yang tak kena dengan I pada mata you? What is your problem?” Soalan Fakrul mematikan lamunan Azura. Azura toleh sekilas pada Fakrul. Wajah anak muda itu telah menarik hatinya sewaktu hari pertama mereka mendaftar di Universiti Malaya.
“You memang selalu macam ni, kan? Bila I tanya, you senyap. Kalau terus begini, macam mana kita nak settlekan problem kita!”
“I tak tahu Fakrul. I...”Azura gelisah. Niatnya menerima pelawaan Fakrul untuk keluar bersama hari itu, adalah untuk berterus terang. Tetapi di hatinya timbul pula rasa bersalah. “Sebenarnya Rul... I ada satu perkara nak beritahu you. Tapi...” Azura menarik nafas dalam-dalam. Hari ini, dia mahu segala-galanya selesai. Dia ingin Fakrul tahu masalahnya. “Apa dia Zura? Cakaplah. I'm waiting. Janganlah buat I macam ni.” Fakrul seperti sudah tidak sabar untuk mendengar kata-kata Azura. Wajahnya yang dihala ke hadapan sesekali dipaling ke arah gadis itu.
“Sebenarnya...” Fakrul tersentak. Pensel di tangan terlepas ke atas meja. Bayangan wajah Azura hilang serta-merta. Tiada satu pun yang tertinggal. Fakrul memerhati ke sekeliling pejabat. Semua rakannya sedang sibuk dengan urusan masing-masing. Cuma dia yang melamun jauh. Ya Allah! Kenapa dengan aku ni?
“ADA isteri ditinggal-tinggalkan!” Ucapan Puan Haryati malam itu membuatkan Fakrul tersentak. Seolah-olah sengaja ingin menghukum dirinya atas satu kesalahan yang amat berat. Begitu perit dirasakan.
“Sampai bila kau nak buat isteri kau macam tu?” tegur Puan Haryati dengan tenang. Sejenak raut Fakrul yang sedang menunduk itu ditenung agak lama.
“Umi tak nak orang mengata keluarga kita. Kau tu lelaki! Dan sebagai suami kau tak patut buat isteri kau macam tu.”
“Umi yang paksa Rul!” “Ziqa perempuan yang baik Rul.” “Baik apa kalau tunang sendiri tak nak ambil dia sebagai isteri? Lagi dua hari aje nak berkahwin. Tup... tup... satu kampung tahu Ziqa dah tak suci. Itu yang umi kata perempuan baik?”
“Kalau tak suka kenapa tak mahu lepaskan dia? Kenapa nak seksa dia dengan menjatuhkan hukuman gantung tak bertali. Kau tahu apa hukumnya buat macam tu?”
“KITA berpisah ajelah Rul. I dah tak sayangkan you. Kalau boleh you jangan cari I lagi!” Begitu senang kata-kata yang muncul di bibir Azura ketika perhubungan mereka semakin kritikal. Fakrul tersentak.
“Tapi kenapa?” Fakrul menghampiri Azura yang sedang berdiri memeluk tubuh.
“You tahukan yang I betul-betul sayangkan you? I tak sanggup berpisah dengan you.” Azura menepis pantas. Dia menjauhkan dirinya. Tasik di hadapannya juga dipandang tanpa perasaan.
“I dah tak sayangkan you. That's the point. I tak boleh nak paksa hati I untuk sayangkan you lagi. Jadi... buat apa nak tunggu?”
“Buang masa?” tanya Fakrul pelik.
“Buang masa I untuk menyayangi you,” balas Azura. Dahi Fakrul berkerut. Menandakan dia semakin pelik dengan kata-kata Azura itu.
“Jadi selama ni, you anggap kasih sayang yang kita jalinkan hanya membuang masa you, begitu?”
“No reason!”
“Setiap perkara yang berlaku ada sebabnya Zura! Tak mungkin you minta break up dengan I tanpa sebab. Atau you dah ada lelaki lain dalam hidup you?” tegas Fakrul. Dahi Azura pula yang berkerut. Bibirnya terkunci.
“Betul tak tekaan I? I dah agak perkara ni akan berlaku!” jerkah Fakrul.
“Itu hak I nak jatuh cinta dengan sesiapa pun. You tak boleh halang. Dan I rasa, tindakan I menerima cinta you dulu pun adalah satu kesilapan. Kita tak patut bersama!” Kenyataan itu membuatkan hati Fakrul terguris. Itulah hari terakhir mereka bersama. Selepas itu, Azura menyepikan diri. Tiada lagi panggilan telefon atau berita yang dikirim. Sepi dan terus menyebabkan Fakrul menderita dengan keadaan itu.
“Zura dah kahwin rupanya Rul. Dah sebulan! Dia ditangkap khalwat dengan seorang lelaki di Pahang,” kata rakannya, Amirul. Namun, sampai ke hari ini wajah Azura tetap segar di ingatannya. Dia telah berusaha untuk melupakan gadis itu. Tetapi, gagal. Apakah begini caranya untuk aku menyayangi gadis lain? Menerima perkahwinan yang tidak aku redhai? Ah, aku memang tidak mampu menyayangi Haziqah seandainya nama Azura tidak luput dari ingatan. Tidak sama sekali!
Haziqah berjalan pantas menuju ke rumahnya yang tinggal beberapa ratus meter sahaja di hadapan. Terserempak dengan jiran-jiran yang berselisih jalan hanya menambahkan kedukaan di hati.
“Kalau dah dasar keturunan tak baik, memang tak baik jugak Kak Jenab!”
“Yalah! Akak pun setuju dengan kata-kata kau, Som. Emaknya si Ziqa tu bukannya baik sangat. Dulu, bukan ke emaknya yang merampas suami Kak Senah. Lepas suaminya mati, emaknya pun... hei, entahlah!”
“Betullah tu! Hisy... selisih malaikat 44 kalau anak kita berperangai macam tu, kan? Janganlah suami kita digodanya pulak.” “Itulah balasannya. Emak merampas suami orang. Anak, ditinggalkan suami.”
“Kalau saya, jangan diharap perempuan macam tu hendak ditolong. Majikan Minah tu baik hati sungguh. Sanggup paksa anak sendiri bertanggungjawab atas perbuatan orang lain. Dah tak suci, nak buat macam mana? Kahwin dengan siapa pun, bukan dapat tutup apa-apa!” Entah mengapa setiap bait yang keluar dari mulut orang kampung amat menyentuh hatinya. Haziqah rasa ingin menangis. Sejurus selepas membayar harga barang-barang, Haziqah terus berlari keluar. Mengapa harus segalanya bermula lagi? Perlukah kisah silam ibunya juga diungkit sedangkan kini kisah yang wujud adalah dari peristiwa yang baru.
Hanya dia yang ditinggalkan tunangan! Kenapa kisah emaknya pula yang dikaitkan? Sejak bila pula emaknya merampas suami Mak Senah?
DARi jauh, Melati sudah nampak kelibat Haziqah berjalan seolah-olah ingin menuju ke rumahnya. Benci sungguh dia melihat gadis yang dirasakan sebagai pesaingnya itu. Tetapi apabila memikirkan nama Haziqah yang sudah mula menjadi sebutan akibat fitnah yang tersebar, Melati berasa gembira. Sekurang-kurangnya Haziqah sudah tidak menjadi kebanggaan anak-anak penduduk kampung lagi.
“Assalamualaikum kak,” sapa Haziqah apabila dia sudah tiba di hadapan tangga tempat Melati berdiri.
“Hoi, kau buat apa datang rumah aku ni?”
“Mak suruh hantar makanan ni untuk Kak Ati dan makcik.”
“Kan aku dah cakap, jangan jejakkan kaki kau kat tanah bapak aku ni. Kau pekak ke? Tak paham bahasa! Haa... yang kau tercegat macam tiang buruk tu kenapa? Pergi balik!” “Err... Kak Ati...”
“Jangan panggil aku kakaklah. Aku bukan kakak kau dan aku tak ingin ada adik macam kau. Perampas!” Haziqah terdiam sejenak. Kata-kata Melati mengguris perasaannya. Selama ayah kandung Melati meninggal dunia, Melati dan Mak Senah tidak pernah menunjukkan tanda-tanda mahu berdamai. Pelbagai tuduhan dilemparkan apabila terserempak dengannya.
“Sudahlah. Jangan nak termenung kat sini pulak. Pergi balik!”
“Mak Ziqa kirim lauk untuk akak dengan makcik.”
“Hoi... aku tak naklah lauk keluarga kau ni! Entah-entah ada racun!”
“Dasar perempuan kotor! Patutlah Yusri tu tinggalkan kau! Dah tak suci pun ada hati nak berkahwin dengan orang kaya. Kau ingat dengan cara tu, nama kau akan kembali bersih. Jangan haraplah Ziqa!”
“Kak Ati jangan hina maruah Ziqa!”
“Apa tak betul kata-kata aku?”
“Sudahlah. Malas Ziqa nak layan Kak Ati. Merepek tak sudah-sudah!” ucap Haziqah dan terus pantas berlalu.
“Perempuan miang! Mak dengan anak sama aje!” jerit Melati sambil melambakkan lauk pemberian ibunya ke tanah seperti selalu.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment