Tuesday, April 15, 2008
The Day When I & Family watched 27 Dresses
Filem:
27 Dresses
Dibintangi oleh:
Katherine Heigl, James Marsden, Malin Akerman, Judy Greer dan Edward Burns.
Genre:
Komedi Romantik
Ulasan :
Jika anda sukakan filem ‘The Devil Wears Prada’, mungkin anda juga akan menggemari filem ‘27 Dresses’ ini kerana ia merupakan hasil tulisan daripada penulis yang sama. Filem komedi romantik ini menampilkan Katherine Heigl sebagai teraju utama yang membawakan watak Jane, individu yang idealistik, romantik, tetapi tidak yakin dengan diri sendiri.
Filem ini mengisahkan tentang kehidupan Jane, seorang wanita yang terlalu taksub dengan majlis perkahwinan. Dia bukan sahaja gemar menghadirinya, tetapi dia juga bertindak sebagai perancang perkahwinan merangkap pengapit kepada pengantin perempuan.
Ketaksubannya itu membuatkan rutin hariannya sentiasa dipenuhi dengan majlis perkahwinan. Bayangkan, dalam masa satu malam, Jane harus berada di dua majlis perkahwinan yang diadakan di dua lokasi berbeza. Walaupun harus bergegas ke sana sini, Jane tetap enjoy melakukannya dan yang paling menarik Jane mempunyai sealmari pakaian pengapit yang pernah digayakannya – sebanyak 27 pasang!
Dalam kesibukan tugasnya, rupa-rupanya Jane menyimpan perasaan terhadap bossnya, George (Burns). Tetapi dia tidak berani meluahkan perasaannya itu kerana risau yang dia hanya bertepuk sebelah tangan. Namun, apabila adiknya, Tess (Akerman) mula menjalinkan hubungan cinta dengan George, Jane mula menyedari ada yang tidak kena dengan dirinya. Lebih memburukkan keadaan, apabila Tess dan George mengambil keputusan untuk berkahwin.
Walaupun Jane kecewa kerana Tess akan berkahwin dengan jejaka pujaannya, dia terpaksa bersetuju untuk merancang perkahwinan adiknya itu. Dalam berhadapan dengan kekecewaannya itu, Jane sering meluahkan perasaannya kepada Kevin, kenalannya yang merupakan seorang penulis kolum perkahwinan di salah sebuah akhbar.
Sebenarnya, Jane bukan sahaja patah hati kerana adiknya akan berkahwin dengan George, tetapi ada sebab lain yang membuatkan dia merasakan Tess tidak layak untuk berkahwin dengan George.
Hendak tahu bagaimana kesudahan filem ini? Saksikannya di pawagam berhampiran anda. Jangan risau, ‘27 Dresses’ memang menghiburkan dan yang paling penting ia mempunyai pengakhiran yang cukup romantik!
Info Menarik:
Heroin filem ini, Katherine Heigl mula menjadi perhatian setelah membintangi drama bersiri ‘Roswell’. Namanya semakin melonjak apabila dia turut berlakon di dalam drama ‘Grey’s Anatomy’ dengan memegang watak sebagai Dr. Isobel ‘Izzie’ Stevens. Pencapaiannya dalam lakonan terbukti apabila dia menerima Anugerah Emmy pada tahun 2007 dan turut tercalon untuk Anugerah Golden Globe.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment