Monday, September 18, 2006
SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN AL-MUBARAK
Oleh NAZMI AIDARUS
RAMADAN menjelang lagi. Setiap mereka yang beriman pasti menanti bulan Ramadan dengan penuh rasa keikhlasan, kegembiraan dan keimanan. Bulan Ramadan ialah bulan pendidikan diri, kecergasan mental dan fizikal, bulan merapatkan silaturahim dan berbaik sangka sesama insan.
Ia bulan kemenangan setiap muslim yang berjaya dalam menentang keinginan nafsu syahwat, kejayaannya dalam menewaskan bisikan syaitan yang telah lama menapak dalam sanubarinya, kemenangannya dalam mengatasi keinginan hatinya berbuat dosa dan maksiat.
Ramadan adalah peluang keemasan meningkatkan nilai peribadi ke peringkat yang lebih tinggi, mengubahnya kepada jiwa yang lebih baik dan dedikasi, kemasyarakatan, lebih nilai keagamaan, cepat mesra dan lebih bertanggungjawab dalam mengeratkan hubungan kekeluargaan dan umat Islam.
Ia adalah bulan kemurahan, berpendirian baik, ia bukannya bulan kemalasan, tidak berdaya, lemah, memberontak, penuh dengan perasaan marah dan jemu terhadap pengabdian diri kepada Allah s.w.t..
Justeru, jadikanlah Ramadan tahun ini bulan yang dirancang pembangunan dan pengabdian diri kepada Allah agar dengan terdapatnya perubahan cara daripada rutin tahunan yang tidak strategik kepada rencana yang berdaya maju, Ramadan tahun ini mencatatkan sejarah tersendiri bagi melayakkan diri kita menempah rahmat dan inayah Ilahi di dunia dan akhirat.
Di sini diperturunkan beberapa saranan dan panduan dalam mengubah gaya sambutan Ramadan sedia ada kepada pembangunan rohani dan jasmani yang diharapkan dapat mencalonkan setiap peribadi muslim menjadi mereka yang bertaqwa kepada Allah s.w.t..
* Perjumpaan kekeluargaan dalam semangat kemesraan dan silaturahim untuk menerangkan tentang bulan Ramadan serta kelebihan yang dinyatakan dalam al-Quran dan hadis.
* Menghantar kad ucapan kepada keluarga terdekat dan sahabat handai sempena kedatangan bulan yang mulia ini sama ada menerusi pos, e-mel dan seumpamanya.
* Menghadiahkan buku atau karangan berkenaan Ramadan kepada rakan taulan dan adik-beradik bagi merebut kelebihan yang disediakan pada bulan mulia ini.
* Letakkan atau gantungkan potongan ayat al-Quran dan hadis mengenai fadilat Ramadan seperti, “Sesiapa yang berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharap keredaan Allah akan diampuni dosa-dosanya yang lalu.”
Ia juga dapat dibuat sendiri melalui lakaran komputer yang menyerlahkan bakat terpendam dan kreativiti.
* Meminta khidmat ulama, ustaz atau imam memberi ceramah ringkas berkenaan ibadah puasa kepada keluarga, adik-beradik dan jiran tetangga di rumah kita sendiri. Kegiatan sebegini dapat mendidik generasi muda dalam memuliakan ilmu dan pendokongnya serta mempertingkatkan konsep zikrullah dalam rumah tangga.
* Pembacaan al-Quran secara tadarus (seorang membaca didengari oleh yang lain mengikut pusingan) beberapa minit sama ada di rumah, masjid atau tempat kerja (semasa rehat).
* Membelikan hadiah seperti sejadah, mushaf, baju sembahyang, telekung dan seumpamanya untuk keluarga terdekat dan kenalan.
* Hadiahkan kurma untuk berbuka puasa kepada keluarga, majikan, tetangga, sahabat, kakitangan dan lain-lain mengikut kemampuan.
* Adakan solat tarawih sekali-sekala di rumah dengan mengajak keluarga menyertainya dan mengimarahkannya.
* Jadikan diri contoh terbaik dalam menggarap fadilat Ramadan dengan ibadat yang ikhlas, berzikir, tadarus al-Quran, memanfaatkan diri dengan pembacaan kitab, buku dan sebagainya.
* Pembacaan tafsir al-Quran yang ringkas selepas membaca dan bertadarus al-Quran supaya apa yang dibaca difahami.
* Adakan majlis ilmu seminggu sekali mengikut kesesuaian untuk menambah potensi diri dengan membaca sirah Nabi s.a.w., sejarah Islam, cerita para sahabat Nabi, penerangan mengenai syurga dan neraka serta sesi soal-jawab.
* Mendengar ceramah agama yang ringan dan menarik di rumah atau di dalam kenderaan melalui radio-kaset, cakera padat atau cakera padat video bagi menambahkan ilmu pengetahuan.
* Memperbanyakkan sedekah sama ada menerusi pemberian wang, pakaian, makanan, mengadakan majlis berbuka puasa dan sebagainya.
* Bersama keluarga dalam menyediakan makanan dan hidangan berbuka puasa serta menghadiahkan sebahagian daripadanya kepada keluarga dan jiran terdekat.
* Agihkan risalah dan brosur keagamaan dalam mendapatkan ganjaran dan kelebihan bulan Ramadan yang mulia ini.
* Mengadakan program bermanfaat di masjid, surau, pejabat, taman perumahan, pasar, kompleks perniagaan dengan kehadiran mereka yang dihormati dalam masyarakat.
* Kurangkan menonton atau mendengar program yang kurang berfaedah dan memenuhkan masa dengan aktiviti yang mendatangkan natijah yang baik dan berkesan kepada peribadi dan masyarakat.
* Beri galakan berterusan kepada anak-anak kecil dan generasi muda dengan menyediakan hadiah atau cenderamata kepada mereka yang berjaya dalam meneruskan kelangsungan puasa dan ibadah lain pada bulan Ramadan.
* Menziarahi mereka yang kurang berkemampuan dan menyediakan hadiah atau buah tangan termasuk kewangan untuk mereka supaya sama-sama menghayati bulan Ramadan seperti mana orang lain.
Sebenarnya banyak lagi panduan dan saranan untuk memenuhi kehidupan bulan Ramadan pada tahun ini dengan penuh rasa keinsafan diri dan meningkatkan tahap ibadah yang boleh diperoleh menerusi pembacaan kitab, buku, Internet dan media massa.
Mudah-mudahan kebaktian kita di atas dunia ini dimakbul oleh Allah s.w.t.. Doa kita semua: “Semoga Allah s.w.t. menerima ibadah puasa dan ibadat kita serta kita dijadikan-Nya orang yang dipelihara daripada neraka-Nya.” Amin, ya Rabba Al-Alamin. Selamat Menyambut Bulan Ramadan kepada seluruh umat Islam.
SELAMAT MENYAMBUT KEDATANGAN RAMADHAN AL-MUBARAK
(Article taken from Utusan Malaysia 180906)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment