Thursday, June 05, 2008

Subsidi dibayar tunai kepada pemilik kenderaan

PUTRAJAYA 4 Jun – Kerajaan akan membayar subsidi minyak secara tunai kepada pemilik kenderaan di bawah skim baru subsidi bahan api yang diumumkan hari ini.

Walaupun pemilik kenderaan kini terpaksa membayar harga petrol dan diesel yang lebih tinggi sehingga 40 peratus berbanding harga sebelum ini, tetapi mereka akan mendapat rebat tunai daripada kerajaan sebaik sahaja memperbaharui cukai jalan kenderaan masing-masing.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad memberitahu Utusan Malaysia di sini, sungguhpun harga petrol naik sebanyak 78 sen seliter kepada RM2.70 namun hakikatnya kerajaan akan memulangkan semula sebahagian daripada kenaikan itu kepada pengguna dalam bentuk rebat tunai berjumlah RM625 setahun.

“Pemilik kenderaan sebenarnya masih menikmati subsidi petrol yang kita pulangkan semula dalam bentuk bayaran tunai,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika mengumumkan struktur baru subsidi bahan api hari ini berkata, bayaran tunai akan diberikan kepada pemilik kenderaan yang layak bagi mengimbangi kenaikan harga petrol sebanyak 78 sen dan RM1 bagi diesel.

Bayaran sebanyak RM625 setahun itu hanya terhad kepada pemilik kenderaan persendirian berkapasiti enjin sehingga 2000cc serta trak pick up dan jip berkapasiti enjin sehingga RM2,500cc.

Pemilik motosikal persendirian berkapasiti enjin sehingga 250cc pula akan menerima bayaran tunai sebanyak RM150 setahun.

Bayaran tunai itu akan dibuat oleh Kementerian Kewangan apabila pemilik kenderaan dan motosikal membayar atau memperbaharui cukai jalan.

Bayaran tersebut meliputi kenderaan dengan cukai jalan berkuat kuasa 1 April 2008 hingga 31 Mac 2009.

Bayaran tunai itu, menurut Perdana Menteri, akan diberikan dalam bentuk kiriman wang yang boleh ditunaikan di Pejabat Pos Malaysia di seluruh negara mulai 1 Julai 2008.

Bagi pemilik kenderaan dan motosikal yang tidak termasuk dalam kategori menerima bayaran tunai, mereka akan dibantu menerusi pengurangan cukai jalan sebanyak RM200 untuk kenderaan melebihi 2,000cc dan RM50 untuk motosikal berkapasiti enjin melebihi 250cc.

Selain itu, kerajaan juga membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dengan memberikan bantuan khas kepada pengusahanya bagi mengimbangi kenaikan harga gas. Harga gas untuk sektor industri telah dinaikkan daripada RM9.40 setiap mmBtu kepada RM24.54.

Articles taken from Utusan Malaysia

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...