Thursday, February 22, 2007
Sinopsis: Saat Cinta Bersemi
Benar. Tiada siapa yang mengharap derita sepanjang hidupnya. Begitu juga dengan Nur Dhuha yang tidak pernah mengimpikan duka. Namun, takdir sudah tertulis... kehidupannya terus dirundung malang. Mahu atau tidak, Nur Dhuha harus mengharunginya demi kehidupan yang lebih bahagia.
Syamir...walau kewujudan semula lelaki itu tidak pernah dimahukan sama sekali, dia tetap tega memburu Nur Dhuha. Dendamnya begitu mendalam walau episod duka sudah berlalu bertahun lamanya. Dia masih belum puas menyeksa hidup si gadis. Lantas, untuk apa kembali, jika sekadar untuk menyakiti?
Nur Dhuha... didera mental dan fizikal seolah tidak layak menikmati hidup. Walaup derita, jauh disudut hati, dia tetap mendambakan kasih dan sayang. Bencinya terhadap Syamir hanya dibibir. Luka yang dicipta Syamir berulang kali dirawat sendiri sehingga sabarnya mencapai kemuncak. Dia akhirnya cuba membebaskan diri demi mencari bahagia yang hakiki.
Kehilangan Nur Dhuha meragut keegoan Syamir. Benarlah kata orang, betapa pentingnya seseorang itu hanya dapat dirasai apabila kita kehilangannya. Hari demi hari, Syamir mula mengesan perubahan itu, perlahan-lahan cintanya datang bersemi. Lantas, dia kembali sebagai pemburu demi sebuah kemaafan.
Wajarkah kemaafan buat Syamir setelah Nur Dhuhah hampir hilang pedoman diri? Masih adakah harapan untuk Nur Dhuha mengecap bahagia?
Komen:
Dendam merupakan perasaan dari hati yang terluka akibat disakiti dan teraniaya atau yang merasa haknya telah diambil alih. Punca perasaan dendam yang paling konkrit adalah kerana kemarahan. Seseorang manusia akan meluahkan amarah kerana tidak suka melihat orang yang dibenci mendapat kemenangan. Dia lebih suka melihat orang itu sengsara melebihi dirinya.
Pelbagai alasan memang tidak akan membuatkan seseoran gitu tidak kisah untuk membalas dendam dengan zalim. Perasaan iri hati, dengki dan rasa tersisih juga mampu membuatkan seseorang itu tiba-tiba tidak mempunyai perasaan belas kasihan. Hatinya menjadi keras dan tidak sedikit pun mengenal dosa. Yang terlintas dalam benaknya hanyalah satu iaitu balas dendam.
Begitulah ketika hati seseorang disaluti dengan rasa dendam yang membara. Dia tidak akan merasa puas jika dendamnya belum berbalas. Tidurnya terasa tidak nyenyak, malah setiap hari hatinya diserang perasaan gelisah. Di matanya pula akan sentiasa terbayangkan wajah musuhnya. Itulah keadaannya seorang pendendam.
Ada satu falsafah tentang cinta berbunyi:
'Cinta dapat mengubah rasa pahit menjadi manis
debu bertukar emas, keruh menjadi jernih
sakit menjadi sembuh, penjara menjadi telaga
derita menjadi nikmat dan kemarahan menjadi rahmat'
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment