Friday, July 09, 2010

BEBASKAN CINTAMU

Ramai orang yang mengaku menyintai orang lain – isteri atau suami atau sesiapa sahaja, tetapi hakikat sebenarnya dia bukan menyintai orang itu… tetapi dia menyintai dirinya sendiri!

Sedarlah bahawa cinta dengan memiliki itu suatu yang berbeza. Jangan silap tentang hakikat itu. Ramai pasangan suami isteri ‘terkorban’ cintanya kerana gagal membezakan antara mencintai dengan ‘memiliki’.

Bila kita mencintai seseorang, kita berfikir tentang dirinya, bukan diri kita. Kepentingan sendiri tidak dihiraukan, bahagia kekasih itu itulah yang diutamakan. Ungkapan ini menggambarkan cinta yang sejati.Sebaliknya, jika kepentingan sendiri lebih diutamakan, perasaan, jiwa dan rasa kekasih dibiarkan, maka itu bukan cinta. Itu memperalatkan cinta, namanya!

Mencintai itu membebaskan, manakala memiliki itu cenderung mengikat, membelenggu dan mengawal. Berapa ramai isteri yang ‘mengawal’ suaminya atas nama cinta. Sehingga suami hilang kebebasan dan kemerdekaan dalam hidup seharian. “Bila nak balik?” “Kenapa lambat?” “kalau abang tak balik lagi, saya akan…” Bolehkah itu dikatakan ‘ayat-ayat’ cinta? Maaf, pertanyaan itu lebih mirip kata-kata seorang majikan kepada pekerja, bukan antara isteri dengan suami tercinta.

Suami pula apa kurangnya. Segala gerak-geri isteri dipantau penuh curiga. Setapak isteri melangkah, menggelak cemburu di dalam dada. Prasangkanya sudah ke tahap merimaskan sang isteri. Salah sedikit, marah. Terlanjur sekejap, ugutan. Bila ditanya, mengapa? Sisuami tidak malu mengaku, “kerana saya terlalu cintakannya!” Padahal, jika diamati dan diteliti, itu semua kerana cintakan diri. Kesihan, siisteri menjadi sandera cinta. Dikepung oleh penjara rumahtangganya, dicemeti oleh kata-kata suaminya. Ah, ada benarnya kata bijak-pandai… kekadang perkahwinan itu menjadi pusara percintaan!

“Queen control” atau “King Control” adalah produk cinta yang palsu. Cinta yang diselaputi kepentingan diri. Kulitnya cinta tetapi isinya keegoaan diri. Seperti seorang pemilik burung tekukur – diberi makan, diberi minum, dibersih dan dimandikan, dilatih berlagu – tetapi dikurung dalam sangkar. “Ini burung kesayanganku,” akuinya di hadapan tetamu. “Suaranya sungguh merdu,” puji tidak henti-henti. Sekalipun tekukur dikurung dalam sangkar emas. Sangkar tetap untuk mengurung, sekalipun sangkar emas. Kilauan sangkar emas, suara berlagu merdu, bukanlah kebahagiaan tekukur yang terkurung tetapi buat tuannya yang mengurung.

Ah, cinta kita kekadang begitu. Kita ingin memberi kebaikan yang diingini oleh kita bukan yang diingini oleh pasangan kita. Apa gunanya sangkar emas, makan-minum yang mewah, kemampuan berlagu, pada tekukur yang dibelenggu? Kalaulah terkukur boleh bersuara, dia akan berkata, “jika benar kau sayangkan aku wahai tuanku, bebaskanlah aku.” Walaupun tertukur tidak mungkin bersuara, tetapi tuannya pasti tahu, bahawa keinginan atau naluri setiap burung adalah kebebasan. Tidak sukar memahami dan merasai jika kita benar-benar mencintai. Bukankah kekasih sejati itu selalunya bertindak memahami dahulu kemudian baru difahami?

Betapa ramai isteri yang dikurung dalam villa atau istana, yang dilimpahi intan dan permata, diberi segala dan semua… tetapi dinafikan suara hatinya. Betapa ramai pula sisuami yang dijaga makan-minumnya, disiapkan pakaian dan segala keperluan lahirnya, tetapi sering disakiti dengan kata perintah, rajuk dan amuk oleh isterinya. Pelik, ketika suami belum pulang, segalanya dirisaukan. Sudah makankah dia? Kenapa lambat, rosakkah keretanya? Agaknya bagaimana dia di permusafiran? Sakitnya? Letihnya? Semuanya seakan menghantui perasaan siisteri. Tapi bila suami yang dibimbangi itu pulang… belumpun melangkah pintu, sudah dihambur dengan wajah masam mencuka, sudah dileteri dengan kata-kata yang berbisa.

Sudah lama tidak ziarah ke rumah mertua. Sisuami tahu hakikat itu. Boleh jadi sudah berbulan-bulan, boleh jadi telah bertahun-tahun. Siisteri memendam rasa. Ingin bersuara takut disentak. Ingin meminta gerun dibentak. Boleh jadi akan ‘diboikot’ dengan diam memanjang hingga ‘mode silent’ begitu menyiksakan. Keinginan isteri menjenguk ibu di kampung disekat. Tetapi kononnya kerana masih cinta, lalu diajak siisteri ‘ziarah’ ke ‘shopping’ komplek atau singgah di kedai emas, dibelikan subang dan rantai agar keinginannya pulang ke kampung halaman dilupakan. Jangan, jangan begitu, dahaga rindu bukan emas dan perak galang gantinya.

Belajarlah membebaskan, bukan mengikat sewaktu bercinta. Khususnya, bagi pasangan yang telah lama berumah-tangga, prinsip ini mesti difahami sebaik-baiknya. Apabila usia perkahwinan semakin meningkat, tidak ada lagi cinta berapi berasaskan keinginan biologi dan fisiologi. Yang mampu bertahan ialah rasa cinta yang sebenar – cinta yang melepaskan bukan mengikat. Ketika warna sebenar (‘true colours’) pasangan kita semakin terserlah hari demi hari, mampukah kita bertahan lagi? Bolehkah kita bersabar atas kelemahan dan kekurangan pasangan yang ketika itu sudahpun masuk belasan bahkan puluhan tahun kita hadapi?

Sudikah kita memberi peluang kedua, ketiga bahkan tidak kira kali keberapun untuknya memperbaiki diri? Jika sudi, benar kita masih cinta. Namun jika jemu, jika enggan, jika bosan itu petanda kurangnya rasa cinta. Ingatlah, jika pasangan kita ada karenahnya, apa kurangnya kita? Jangan kesabaran kita sahaja yang diperkirakan, kesabaran pasangan kita terhadap karenah kita juga wajar dipertimbangkan. Ingat selalu, suami adalah cermi siisteri dan begitulah sebaliknya. Hubungan kesalingan ini menunjukkan bahawa bagaimana perangai dan akhlak kita maka begitulah perangai dan akhlak pasangan yang ditakdirkan untuk bersama kita!

Jadi, jangan cepat menyalah atau mengalah, sebaliknya banyakkan muhasabah diri. Sedarlah bahawa kelemahan ataupun keburukan yang ada pada pasangan kita itu sebenarnya, bukan sahaja tidak diingini oleh kita tetapi juga oleh mereka. Mereka pun pada hakikatnya sedang berhempas pulas untuk mengatasi kelemahan atau keburukan itu. Kalau begitu, adalah lebih baik sekiranya kita membantu daripada ‘membuntu’ mereka.

Malangnya, hal diatas jarang berlaku. Kebanyakan orang tidak sabar dengan karenah pasangan mereka. Keceriaan dan ketenangan hidup terasa semakin terhakis oleh tabiat buruk pasangan. “Abang, saya hilang bahagia kalau abang berterusan marah-marah begini.” “Kalau you buat muka masam macam ni, I tak da pilihan. I terpaksa keluar ‘enjoy’ dengan kawan-kawan.” Kekadang suara begitu diperdengarkan. Tetapi acapkali dipendamkan. Kata-kata itu atau yang seumpama dengannya membayangkan penuturnya hilang ‘interest’ dengan pasangannya. Kata orang, habis manis sepah dibuang. Padahal, telek-teleklah kenapa suami puan muram, kenapa isteri tuan masam… Mungkin akibat beban kerjanya dipejabat. Mungkin impak perangai anak-anak di rumah. Atau yang lebih parah lagi, mungkin kerana karenah puan atau tuan sendiri. Masya-Allah.
Kita akan membuang barang yang kita miliki sekiranya barang itu hilang fungsinya. Kalau sesuatu itu tidak membawa manfaat kepada kita, apa guna lagi untuk meyimpannya? Begitulah cinta kalau tujuannya hanya untuk memiliki. Tetapi kalau cinta itu bukan untuk memiliki, kita akan terus cinta tidak kira apa jua keadaan pasangan yang kita cintai itu… Barang yang hilang fungsi bukan untuk dibuang, tetapi untuk diperbaiki. Begitulah sikap sebenarnya seorang isteri atau suami apabila berdepan dengan keburukan atau kelemahan pasangannya. Demi cinta, dalam diam-diam suara hati mereka membisikkan, kalau aku tidak dapat apa yang aku sukai, aku mesti belajar menyukai apa yang aku dapat!

Ah, betapa hebatnya sebuah kisah cinta seorang ahli sufi terhadap isterinya. Kisah yang menyebabkan saya termenung dan merenung begitu lama. Pada hari kematian isterinya barulah masyarakat tahu bahawa dia sebenarnya bukanlah seorang yang cacat… Dia hanya ‘berlakon’ cacat hanya untuk menjaga maruah dan harga diri isterinya yang benar-benar cacat. Berapa lama dia berlakon begitu? Puluhan tahun! Subhanallah. Itulah cinta yang sebenar. Cinta yang melepaskan belenggu psikologi, penjara jiwa dan rantai fikiran yang boleh menghilangkan kebahagiaan daripada diri pasangannya.
Tidak ada cinta seikhlas cinta Allah. Allah yang Maha Kaya itu tidak memerlukan sedebupun manfaat daripada hamba-Nya. Dia Al Qawwi, Dia Al Ghani… Tuhan maha Perkasa dan Tuhan maha Kaya, Tuhan tidak memerlukan kita sebaliknya kita yang memerlukan-Nya. Justeru, cinta-Nya benar-benar suci kerana hakikatnya Allah tidak inginkan sebarang balasan ataupun ganjaran.

Ya, Allah memang memiliki… tetapi DIA bukan membelenggu. Cinta-Nya membebaskan. Untuk bebas dariapada memperalatkan dan diperalatkan oleh cinta, jadikanlah cinta Allah sebagai asas dan di atas segala cinta. Jangan jadi sandera cinta, walaupun kepada isteri atau suamimu!

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...