Assalammualaikum semua,
Hampir saya terlupa yang saya ada sediakan entry ni baru-baru ini tetapi hampir terlupa untuk dipost-upkan sebab ianya disimpan didalam folder 'draft'.
Pejam celik-pejam celik dan tanpa disangka-sangka kita semua telah memasuki bulan Rejab dan selalunya kalau dah tibanya Rejab maka semestinya 2 bulan lagi akan timbulnya Ramadhan. Biasanyalah yang selalu mengingatkan saya jika bulan rejab ni tiba ialah qada' atau ganti puasa.
So kawan-kawan, korang semua dah ganti puasa ke belum? (untuk kaum wanita sahaja)... Dan seperti biasa saya yang menulis entry ni pun belum habis ganti puasa yang bertimbun-timbun tu. Masyaallah...bilalah nak habis..cadangnya nak mula minggu hadapan Insyaallah. Tapi biasalah kawan-kawan, godaan bagi orang-orang yang puasa time macam ni memang menduga serta mencabar. Maksud saya tu bukan apa, time inilah kawan-kawan ofis pakat nak buat makan-makan 'farewell'lah, kesyukuranlah, birthday celebration lah, belanja naik pangkatlah (betul tak?)...jadinya iman kita pun goyah jugaklah dibuatnya.
Tapi itu semua dugaan YANG PENTING 'NAWAITU' kita dalam menjalankan ibadah itu samaada ikhlas kerana ALLAH Taala.
Disini saya ada terjumpa satu penerangan mengenai keindahan dan khasiat bulan Rejab yang ingin saya kongsikan bersama kawan-kawan semua. Semoga kita semua mendapat pengetahuan dan lebih bersedia menghadapinya.
KEISTIMEWAAN BULAN REJAB
Rejab datang kembali menemui umat Islam. Bulan ketujuh dalam kalendar Islam ini mempunyai keistimewaan tersendiri sebagaimana yang dijanjikan Allah seperti yang terkandung dalam al-Quran. Rejab mempunyai empat makna iaitu takzim (kebesaran, keagungan dan kemuliaan), rahmah (bulan yang penuh dengan rahmat Allah), Jud'un (pemurah) dan Birr'un (kebajikan).
Bulan Rejab adalah salah satu bulan yang mulia dan banyak kelebihannya. Nabi Muhammad saw dalam satu hadis menyatakan bahawa Rejab itu bulan Allah. Sabda baginda yang bermaksud: "Sesungguhnya Rejab adalah bulan Allah, Syaaban adalah bulanku dan Ramadan adalah bulan umatku".
Rejab dalam bahasa Arab bererti agung. Bulan ini dinamakan Rejab kerana pada bulan ini orang Arab zaman jahiliah dan awal Islam sangat menghormati dan mengagungkannya. Menurut satu qissah, di zaman dahulu, khususnya sebelum dan awal Islam, pada bulan ini petugas Kaabah membuka pintunya sebulan penuh, sedangkan pada bulan lain pintu Kaabah hanya dibuka pada hari Isnin dan Khamis. Ini kerana Rejab adalah bulan Allah. Kaabah pula adalah rumah Allah. Kita adalah hamba Allah. Oleh itu, bagi mereka tiada sebab mengapa hamba Allah dilarang memasuki rumah Allah pada bulan Allah ini. Dalam hal berkaitan, Saidina Abu Bakar pernah berkata: "Apabila tiba malam Jumaat yang pertama dalam Rejab, maka semua malaikat dari segenap penjuru sama ada dari udara, laut dan darat berkumpul di sekeliling Kaabah"
Bulan Rejab adalah bulan ketujuh daripada bulan-bulan dalam hitungan tahun qamariah. Rejab bererti kebesaran dan dinamakan Rejab kerana bulan ini sangat dimuliakan pada zaman Jahiliah. Dalam bulan ini juga mencatatkan sejarah penting bagi kehidupan umat Islam kerana dalam bulan ini mengandungi peristiwa Isra' dan Mikraj Junjungan Nabi Besar kita Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam satu peristiwa yang kita telah maklum keagungannya. Umat Islam digalakkan untuk beribadat sebanyak mungkin pada bulan Rejab ini kerana pada bulan ini Allah Subhanahu Wataala banyak memberikan pahala kepada mereka yang mengerjakan ibadat di dalamnya. Di antara amalan-amalan yang digalakkan ke atas orang-orang Islam untuk mengerjakannya pada bulan Rejab ini ialah:-
Pertama: Membaca Salawat kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.
Umat Islam memang digalakkan untuk membanyakkan membaca salawat pada bila-bila masa terutama pada ketika pahalanya dilipat gandakan di dalamnya seperti pada bulan Rejab kerana membaca salawat sangat besar pahalanya.
Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam : Antara mafhumnya:" Barangsiapa yang membaca salawat untuk Ku satu kali, Allah bersalawat kepadanya sepuluh kali, dan barangsiapa bersalawat sepuluh kali kepada ku, Allah akan bersalawat kepadanya sebanyak seratus kali. Dan barang siapa yang bersalawat kepada Ku seratus kali, maka Allah menulis di antara kedua-dua matanya kebebasan dari nifak dan kebebasan dari neraka. Pada hari kiamat orang itu akan ditempatkan bersama orang-orang yang mati syahid". [Riwayat At-tabrani].
Kedua: Bertaubat.
Kita digalakkan untuk memperbanyakkan bertaubat pada bulan Rejab kerana bulan ini adalah bulan pengampunan.
Ketiga: Berpuasa.
Kita Umat Islam digalakkan untuk banyak berpuasa pada bulan Rejab. Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang diriwayatkan oleh Al-Baihaqi.Maksudnya: "Sesungguhnya di dalam syurga itu terdapat sebuah sungai yang disebutkan sungai Rejab, airnya lebih putih daripada susu dan lebih manis daripada madu, barangsiapa yang berpuasa satu hari pada bulan Rejab, Allah akan memberinya minum dari sungai itu".
Keempat: Berdoa.
Apabila berada di bulan Rejab, kita berharap agar sampai pula pada bulan Syaaban dan bulan Ramadhan. Bulan Ramadhan bulan yang dinanti-nanti oleh setiap orang Islam yang sentiasa merindui pahala besar.
Selain daripada itu banyak lagi ibadat-ibadat lain yang mempunyai banyak kelebihan untuk kita amalkan di bulan ini seperti bersedekah dan melakukan amal jariah yang lain.
Istimewanya bulan ini, pada 27 Rejab ialah berlakunya peristiwa Isra' dan Mikraj kepada Rasulullah s. a. w. Pada malam itu, baginda diangkat ke siddaratul muntaha (langit ketujuh) bertemu secara langsung dengan Allah. Dengan izin Allah, baginda melihat keadaan syurga dan neraka dan bagaimana umatnya serta umat yang terdahulu menerima ganjaran kebajikan dan pembalasan dosa yang mereka lakukan di dunia. Ketika bertemu Allah, Rasulullah saw juga diperintah mengerjakan sembahyang lima waktu sehari semalam yang mulanya diwajibkan sebanyak 50 waktu. Inilah keriangan yang paling tinggi daripada Allah kepada Rasulullah dan umatnya hingga ke hari kiamat.
Imam Nawawi seorang tokoh perundangan dalam Islam, menyatakan dalam kitabnya Syarah Muslim: Perkara sebenar yang telah disepakati sama ada oleh ulama fiqh (fuqaha), ulama ahli hadith (muhaddithin) dan ulama ilmu kalam atau ilmu tauhid (mutakallimin), begitu juga para sahabat (atsar) dan para ulama dahulu dan mutakhirin, bahawa Nabi Muhammad s. a. w. telah diisra' dan dimikrajkan oleh Allah s. w. t. dengan roh dan jasadnya sekali. Begitu juga Al Imam Ibnu Hajar mempunyai pendapat yang sama dalam perkara tersebut.
Menurut Imam Nawawi, tiada alasan untuk menolak hakikat Isra' Mikraj Nabi s. a. w, dengan roh dan jasadnya sekali, kerana peristiwa Isra' dan Mikraj agung itu bukan atas usaha ikhtiar Nabi s.a.w sendiri, sebaliknya Nabi s.a.w menghebahkan kepada orang ramai bahawa baginda telah diisra' dan dimikrajkan oleh Allah s. w. t. bersama malaikat Jibril. Kenderaan yang disediakan oleh Allah s. w. t. bernama buraq iaitu kenderaan yang dicipta dari cahaya. Buraq kenderaan khusus untuk suatu pengembaraan Nabi s.a.w dalam perisitiwa bersejarah diisra' dan dimikrajkan ke langit. Ini bermakna bahawa Isra' Mikraj adalah suatu peristiwa di luar kemampuan Nabi s.a.w untuk melakukannya, sebaliknya ia dikehendaki oleh Allah s. w. t. berlaku ke atas diri Nabi s.a.w dengan dibantu oleh malaikat Jibril a. s.
Allah SWT melalui firmanNya dalam ayat pertama surah Al Isra', menjelaskan tentang peristiwa Isra' memulakan dengan kalimah Subhana "Maha Suci Allah." Ertinya, Allah SWT itu Maha Suci dari segala sifat kekurangan dan kelemahan. Sekalipun peristiwa Isra' Mikraj itu perkara luar biasa(ajaib) di sisi akal manusia, tetapi bagi Allah s. w. t. Yang Maha Suci dari sifat kelemahan, maka Dia boleh melakukan apa jua perkara pelik menjadi perkara biasa dan tiada yang mustahil bagi-Nya.
Kalaulah peristiwa Isra' Mikraj itu sekadar Nabi s.a.w bermimpi pergi ke Baitul Muqaddis dan juga mimpi naik ke langit, maka kaum musyrikin Makkah tidak akan marah dan mempersenda Nabi s.a.w, kerana mimpi adalah perkara biasa bagi semua orang. Bukan Nabi Muhammad sahaja yang boleh bermimpi naik ke langit, bahkan orang yang bukan taraf nabi pun boleh bermimpi serupa itu juga.
Dalam peristiwa ini, baginda Rasulullah s. a. w. dapat menyaksikan peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib. Antaranya : Satu kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah s. a. w. diberitahu oleh Jibrail : Itulah kaum yang berjihad "Fisabilillah" yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.
Baginda juga melalui suatu tempat yang berbau harum. Rasulullah s. a. w. diberitahu oleh Jibrail: Itulah bau kubur Masyitah (tukang sisir rambut anak Fir'aun) bersama suaminya dan anak-anak-nya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Firaun kerana tetap teguh beriman kepada Allah (tak mahu mengakui Firaun sebagai Tuhan).
Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu Rasulullah, "Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang)."
Rasulullah juga diperlihatkan, sekumpulan manusia yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibrail, "Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka".
Baginda juga melihat satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail, "Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri/suami".
Mudah-mudahan perkara yang diperlihatkan oleh Allah kepada Baginda Muhammad s.a.w. dapat dijadikan pengajaran kepada kita semua untuk mendapat rahmat dan kesejah teraan di dunia dan akhirat.
Dipetik dari Ulasan Ustaz Haji Mohd. Nawi bin Haji Ismail
Trak Transformer Boleh Bergerak Popular Di China
17 hours ago
3 comments:
puasa ganti dah selesai sudah...
tau mau jd mcm tahun lepas...dah nak hanpir ramadhan baru nak ganti puasa...
salam... datang sini baca entri... nice... bulan rejab adalah bulan yang baik tuk berpuasa... insyaallah bulan ini aku saya manfaatkan sebaik2nya...
ainnoraini: alhamdulillah selesai sudah. saya yang kena berazam untuk cuba menghabiskan puasa yang tertunggak ni. tak taulah sempat ke tidak.
dwaty: Terima kasih sebab sudi singgah. Insyaallah semoga kita semua mendapat syafaat.
Post a Comment