Monday, September 24, 2012

Nak Pilih Tarikh Bersalin....Tapi.....



Assalammualaikum...


Sekadar berkongsi dengan anda semua termasuklah saya ni untuk kebaikan kita bersama....hailah, bila membaca setiap artikel-artikel ini hati semakin hari semakin berdebar-debar. Menghitung hari dengan campuran 1001 perasaan iaitu sukar, takut, gembira dan teruja.

Semoga selamat semuanya...

Setiap apa yang dilakukan pasti ada sisi baik dan sisi buruknya. Demikian juga dengan aspek pemilihan tarikh bersalin seperti yang banyak dilakukan oleh ramai ibu bapa moden pada masa kini.


Apa pun jua pendapat yang disuarakan atas pemilihan tarikh bersalin, natijahnya, tarikh tidak mencerminkan apa-apa. Jika kebetulan tarikh bersalin itu jatuh pada tarikh yang unik, ia dikira sebagai bonus tambahan kepada anda dalam melalui saat-saat manis menimang cahaya mata.


Kebaikan

Dengan memilih tarikh tertentu untuk bersalin, anda boleh menguruskan sesuatu hal yang perlu dibereskan sebelum melahirkan dalam keadaan keadaan tenang dan merancang dengan lebih teratur. Apabila tekanan dapat dikurangkan, ia tidak akan menimbulkan kerisauan. Oleh yang demikian, proses kelahiran dapat dilalui dengan lancar.


1. Terancang

Bagi anda yang mempunyai ibu bapa atau ahli keluarga yang tinggal berjauhan, pemilihan tarikh bersalin membolehkan mereka datang lebih awal agar dapat menjaga anak yang lebih tua sepanjang anda berada di hospital.

Malah, bagi anda yang masih mempunyai tugasan yang perlu dibereskan sebelum bersalin, sudah pasti urusan itu dapat diselesaikan dengan sempurna. Dengan yang demikian, anda mempunyai masa untuk melakukan kerja-kerja secara teratur dan menguruskannya dengan baik.


2. Teman Ketika Bersalin

Menerusi pemilihan tarikh bersalin, para suami tidak lagi mempunyai alasan untuk mengatakan tiada peluang untuk bersama-sama dengan anda ketika melalui proses kelahiran bayi. Malah, ibu juga boleh menemani anda ketika di dalam bilik bersalin sekiranya hospital pilihan membenarkan beliau berbuat demikian.


3. Bajet

Proses kelahiran anak terutamanya di hospital swasta menuntut beberapa kos tertentu. Jadi, dengan memilih tarikh bersalin, segelintir pasangan ibu bapa yang mungkin mempunyai kekangan kewangan pada tarikh jangkaan bersalin yang diberikan oleh doktor dapat mengatasi masalah ini tanpa perlu khuatir tentang kos kelahiran anak.


4. Kepercayaan Kaum

Terdapat segelintir individu terutamanya kaum India dan Cina percaya bahawa hari atau waktu kelahiran tertentu dapat memainkan peranan dalam mencorakkan masa depan si kecil. Berdasarkan kepercayaan yang dipegang, sudah pasti ia diharap dapat membentuk keperibadian anak yang bakal membesar sebagai insan yang berguna.


5. Pilih Doktor

Jadual tugasan doktor tidak menentu. Jika mahu doktor yang menjaga kehamilan anda menyambut kelahiran bayi, maka pemilihan tarikh bersalin dapat membantu. Dengan yang demikian, anda dapat memastikan doktor yang anda percayai itu bertugas pada tarikh anda mahu bersalin.


6. Bilik Pilihan

Di sesetengah hospital, kemudahan bilik terutamanya bilik tunggal agak terhad. Sekiranya anda bercadang mahu bersendirian tanpa gangguan daripada ibu-ibu yang lain, maka anda boleh memilih bilik tunggal yang diingini dan pada masa yang sama tarikh bersalin yang diimpikan.


7. Tidak Kelam Kabut

Dengan memilih tarikh bersalin, anda tidak perlu kelam-kabut dengan membawa bersama anak-anak yang lebih tua ke hospital ketika tiba saat hendak melahirkan. Tambahan pula, ada sesetengah hospital tidak membenarkan kanak-kanak kecil berada di dalam bilik bersalin bagi mengelakkan masalah-masalah sampingan yang mungkin boleh menjejaskan kesihatan anak anda dan masalah-masalah yang lain juga.


8. Pengurusan Logistik

Sekiranya kehamialan anda berhadapan dengan masalah uri bawah, biasanya anda akan dinasihatkan oleh doktor untuk berehat di hospital di antara minggu ke-28 hingga minggu ke-38. Jadi, dengan memilih tarikh bersalin, pengurusan logistik dapat dilakukan dengan lancar.


9. Tidak Sabar Bersalin

Ada segelintir ibu hamil yang tidak mampu bertahan dengan kehamilan yang semakin membesar. Oleh itu, tekanan yang dialami ini dapat dikurangkan dengan memilih tarikh bersalin. Namun, ia hanya dapat dilakukan dengan syarat usia kandungan sudah matang dan saiznya sudah mencukupi.


Keburukan


1. Risiko Caesarean

Bagi yang memilih untuk bersalin secara normal pada tarikh pilihan, anda mungkin akhirnya terpaksa melalui proses kelahiran secara pembedahan caesarean jika tidak berjaya mengeluarkan bayi secara normal. Perlu diingati bahawa setiap kelahiran caesarean terutamanya secara kecemasan ada risikonya yang tersendiri.


2. Bayi Pramatang

Tarikh bersalin yang dipilih mungkin tidak tepat dengan usia kandungan. Dengan yang demikian, dikhuatiri bayi dilahirkan tidak cukup bulan. Untuk makluman, pada usia 38 minggu, kematangan paru-paru bayi adalah pada 97 peratus. Jika bayi lahir pramatang, ia boleh menyebabkan bayi perlu diberi bantuan pernafasan akibat respiration distress syndrome dan dimasukkan ke ICU.


3. Terlebih Hari

Ada ketikanya tarikh bersalin yang anda pilih itu terlebih daripada hari yang sepatutnya bayi perlu dilahirkan. Jika menunggu terlalu lama, ia akan memberi kesan kepada bayi. Dalam kes tertentu, tarikh yang dipilih tidak kesampaian apabila bayi dilahirkan lebih awal.


4. Timbul Masalah Lain

Apabila anda terlalu gelojoh dalam memilih tarikh bersalin, ia boleh menimbulkan masalah-masalah sampingan. Umpamanya, penggunaan ubat cetusan kontraksi boleh menyebabkan koyak yang mana akan menjurus kepada komplikasi pendarahan, bayi lemas dalam kandungan mahupun pembedahan caesarean secara kecemasan perlu dijalankan bagi menyelamatkan nyawa anda dan bayi juga.


3 comments:

Sha Mohamed said...

Alhamdulillah setakat nie xde lah pilih tarikh untuk bersalin.. Apa yang doktor tetapkan tu pun kadang2 x tepat.. just follow the flow.. hehehe.. yg paling penting baby lahir dalam keadaan sihat dan normal..

nazayiena said...

Syukur alhamdulillah setakat nie bersalin dekat2 dgn due yg dr kasi tu.

ayut said...

mgkn merancang itu akn lebih mudah utk bt preparation.why not klu merancang :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...