BARU beberapa minggu saja berlalu sejak pengumuman mengejut mendedahkan mengenai perpisahan J-Lo dan suaminya, Marc Anthony.
Bagaimanapun, nampaknya penyanyi Get Right itu sudah kembali bekerja dengan semangat jitu, meraikan kebebasan baru yang dikecapi dengan menghasilkan klip video untuk single terbarunya Papi.
Penyanyi terbabit melakukan persembahan akrobatik, melompat di udara, memanjat di atas bahu beberapa penari lelaki ketika merakam klip video itu di Los Angeles.
Dalam satu babak, dia berdiri di atas tangan sekumpulan penari menunjukkan keberaniannya dan kepercayaan terhadap mereka.
Penyanyi berusia 42 tahun itu kelihatan jauh lebih muda berbanding usianya ketika dia duduk di atas bahu beberapa penari lelaki yang tampan.
Dengan memakai seluar pendek dan baju yang mendedahkan perut serta kulit perangnya, penyanyi itu berupaya menyanyi sambil menari dan tersenyum sepanjang rakaman video berjalan.
Dalam satu babak, Jennifer turut membalikkan tubuhnya dan berbaring di atas bahu seorang lagi penari lelaki.
Beberapa lagi penari dilihat membantu penyanyi berkenaan turun - yang pastinya sukar ekoran kasut tinggi yang dipakai Jennifer.
Pereka tari So You Think You Can Dance, Napoleon dan Tabitha D’Umo (atau lebih dikenali sebagai Nappytabs) turut membantu Jennifer ketika rakaman klip video berjalan.
Pasukan suami isteri terbabit diberi kepercayaan untuk mencipta rentak tarian hip-hop terbaru yang disebut ‘lyrical hip-hop’.
Papi adalah single lagu rancak yang pasti menarik peminat menari mengikut rentak iramanya: ‘Angkat tangan anda tinggi ke udara, menarilah untuk teman lelaki anda jika anda peduli.’
Jennifer yang berada dalam mood baik terus melakukan rutin kerja sebaik tiba ke lokasi penggambaran.
Untuk satu ketika, dia kelihatan agak menggelabah untuk beraksi, tetapi tidak lama kemudian dia dapat mengawal diri dan menampilkan semula kekuatan J-Lo yang biasa dilihat dalam kebanyakan klip videonya.
Antara babak lain dalam video itu termasuklah babak Jennifer berjalan menyeberang jalan, berdiri berhampiran gerai buah-buahan dan memandu kereta Fiat 500.
Ibu dua anak itu turut meluangkan masa ketika waktu rehat bersama dua anaknya, Emme dan Max yang nampak selesa di set penggambaran.
Jennifer juga memastikan dia sentiasa kelihatan cantik sepanjang penggambaran dengan menambah dandanan mekap serta membetulkan rambutnya.
Sebelum itu, dia dilihat berehat di set penggambaran dengan jubah mandi berwarna putih sebelum rakaman bermula.
Dia merasakan hari yang dilaluinya berjalan dengan lancar, memberitahu peminat mengenai perkembangannya di Twitter: “Hari pertama rakaman video terbaru saya...teruslah bersama saya”
Sementara itu, J-Lo yang mengakui dirinya seorang yang gila kerja turut terbabit dengan penggambaran filem terbaru, What To Expect When Your’re Expecting, filem komedi tentang ujian dan penderitaan dalam kehamilan yang dibintangi Cameron Diaz dan Matthew Morrison sebagai pelakon utama.
(
petikan dari MyMetro)
0 comments:
Post a Comment