Assalamualaikum semua...
Sebuah artikel yang bagus untuk dikongsi bersama kawan-kawan bloggers semua khususnya wanita...
CUAI dan leka selain tidak merasakan amalan wajib itu sebagai suruhan agama dikatakan menjadi punca wanita memandang ringan mengganti serta membayar fidyah apabila meninggalkan puasa Ramadan.
Pakar motivasi, Dr Rubiah Kulup Hamzah, berkata kecuaian berkenaan cenderung disebabkan wanita itu sendiri yang tidak ada usaha, daya dan tekad selain melihat tiada kepentingan di sebalik amalan itu.
“Jika melakukan sesuatu mengikut kebiasaan, jadi pelaksanaan itu tidak terasa dekat dalam diri, pada Allah dan suruhan-Nya kerana puasa itu sebenarnya bermula daripada keyakinan (syahadah) lantas menjadikan individu itu kuat dan lebih baik.
“Sudah berikrar kepada Allah untuk menjadi hamba-Nya tapi tiada pertalian sebab itu terasa seperti banyak halangan untuk mengganti sedangkan ia adalah tugas individu,” katanya ketika mengulas mengenai pengabaian umat Islam membayar ibadat puasa Ramadan.
Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 183-184 bermaksud, “Puasa yang diwajibkan ialah beberapa hari tertentu, maka sesiapa di antara kamu sakit atau musafir boleh berbuka, kemudian wajiblah dia berpuasa (qada) sebanyak hari yang dibuka itu pada hari-hari lain,”.
Bagi yang tidak berdaya qada kerana tua atau alasan lain tertentu yang munasabah, caranya adalah membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Bagaimanapun, berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi fidyah.
Tambahnya lagi, isu cetek pengetahuan atau kurang didikan agama bukan penyebab tertunggak puasa ganti serta bayaran fidyah kerana agama adalah amalan dan jika tidak diamalkan, maka daya dorongan juga menjadi kurang.
“Kebiasaannya, orang yang begini juga solat pun tidak cukup. Apa yang boleh membantu adalah dengan ilmu selain mereka sendiri perlu tahu, tinggal puasa dikira berhutang dan berdosa jika hutang itu tidak dibayar,” katanya.
Jadi, penyelesaiannya, Dr Rubiah berkata, masalah itu boleh ditangani melalui kaedah memilih kawan faham agama kerana mereka mempunyai kuasa dorongan yang kuat.
“Selain itu, cuba cari buku berkaitan agama untuk mendapatkan ilmu mengenai puasa. Selami apa matlamat di sebalik amalan itu berbanding syariat yang sering dikejar kebanyakan orang,” katanya.
BAGI Juru Ukur Bahan, Liza Shareeza Mohd Zaid, 29, berkata gagal melunaskan puasa yang ditinggalkan berlaku kerana sikap suka tertangguh.
“Kalau disebut pasal agama cetek atau tidak tahu kewajipan, ia mungkin kedengaran seperti hipokrit kerana di negara ini, setiap orang yang beragama Islam mempelajari pendidikan Islam sejak di bangku sekolah rendah.
“Mereka tahu tapi tidak mengambil berat. Seperti yang sering saya perhatikan, jika soal solat tidak dititikberatkan, bagaimana mungkin mereka akan berasa wajib untuk berpuasa, seterusnya menggantinya,” katanya.
Seperti diamalkannya, Liza Shareeza membayar fidyah atau bersedekah mengikut nilai secupak beras jika tidak berkesempatan atau berkemampuan mengganti puasa pada tahun berikutnya.
“Tapi selalunya, jika perlu mengganti puasa, saya amalkan dengan berpuasa setiap Isnin dan Khamis. Lunaskan hutang puasa wajib kemudian boleh diteruskan dengan yang sunat,” kata ibu tiga cahaya mata itu.
KAKITANGAN kerajaan, yang hanya dikenali sebagai Diana pula mengakui tidak pernah menggantikan puasa sejak lapan tahun lalu.
“Entah, mungkin sekarang ini saya sering mengabaikan solat menyebabkan hati seperti liat hendak menuruti segala suruhan agama termasuk mengganti puasa.
“Berbanding di bangku sekolah dan universiti, mengganti puasa bersama rakan begitu menyeronokkan malah kami berlumba-lumba menghabiskan puasa ganti sejurus Aidiladha,” katanya.
Diana berasakan tidak mengganti puasa seperti bukan kesalahan besar kerana ramai rakannya termasuk yang bertudung juga mengabaikannya.
“Saban hari, saya sibuk dengan urusan kerja selain sering keluar bersama rakan mencuba makanan di restoran berbeza. Jadi, ia sedikit sebanyak membuatkan saya leka.
“Bagaimanapun, saya berazam untuk mula mengganti puasa dan membayar fidyah satu hari nanti,” katanya.
INFO
Di laman web Pusat Zakat Wilayah Persekutuan ada disediakan kalkular fidyah khas untuk wanita yang keliru mengenai kadar fidyah perlu dilunaskan jika meninggalkan puasa disebabkan haid, sengaja, ibu mengandung atau menyusu juga warga tua atau uzur.
Kadar fidyah bagi tahun 1431H ialah RM 1.80 sehari. Pengiraan Fidyah (beras), 1 gantang baqdad = 2.7kg, 1 cupak beras = 675 g atau bersamaan dengan RM 1.80 bagi sehari yang ditinggalkan.
FAKTA: Golongan yang dikenakan fidyah
Orang yang meninggalkan puasa dengan sengaja atau uzur syarie berkaitan - haid, nifas, wiladah (darah sakit), musafir dan sakit yang ada harapan sembuh. Wajib qada sebelum datangnya Ramadan akan datang, jika masih belum qada maka dikenakan fidyah.
Uzur - tiada kebarangkalian untuk sembuh atau sakit yang disahkan oleh doktor tidak boleh puasa. Fidyah dikenakan pada tahun itu juga dan tidak perlu qada puasanya.
Ibu hamil atau menyusukan anak yang tidak berpuasa kerana bimbang:
i. Kandungannya terjejas
ii. Air susunya kering. Justeru, fidyah dikenakan pada tahun itu juga. Hendaklah qada sebelum melangkah Ramadan akan datang. Sekiranya tidak qada puasa sehingga masuknya Ramadan, maka dikenakan fidyah berganda.
Sekiranya tidak berpuasa kerana dirinya. Wajib qada sebelum Ramadan akan datang dan sekiranya masih belum mengqada, maka barulah dikenakan fidyah.
Artikel diambil dari Utusan Online.
Trak Transformer Boleh Bergerak Popular Di China
44 minutes ago
0 comments:
Post a Comment