Sunday, November 27, 2011

Saya Meminati Awak!!

Seksanya apabila diminati adalah lebih seksa daripada seksa meminati. Bagaimana ini mungkin? Bayangkan anda tidak sukakan seseorang, tetapi dia amat sukakan anda. Hari-hari dia akan menghantar SMS, bunga dan pelbagai barangan hadiah tanda kasih dan cinta mereka pada anda, selagi tidak dibalas dia akan terus menghantar, membeli  dan menunggu. Pada anggapan mereka kita sengaja tidak mahu membalas sebenarnya kita amat sibuk dan tiada kesempatan sama sekali.


Sesetengah orang yang terlalu meminati akan minta bercakap. Dia mahu mendengar suara dan dia mahu suaranya didengari. Apabila dia mula menelefon, dia akan kerap menelefon tidak kira pagi, petang, malam bahkan subuh. Apabila perasaan rindunya membuak-buak, dia akan menelefon, tanpa berfikir pun apakah ketika itu sesuai ataupun tidak.

Apabila SMS yang dihantar dilayan, panggilannya berjawab, dia akan minta untuk berjumpa. Selagi tidak dipenuhi permintaannya dia akan terus meminta. Pintanya hanya sekali dan andainya sekali itu dipenuhi dia akan jadikan alasan untuk sekali lagi dan lagi dan lagi.

Orang begini mengatakan mereka tidak tertanggung lagi menanggung rindu. Mereka amat-amat meminati, lantas amat-amat merindui. Mereka mahu SMS selalu, mahu telefon selalu dan mahu berjumpa selalu. Kalau boleh seminit pun tidak boleh berhenti. Setiap detik adalah mesej, suara dan juga bertentang mata.

Aduh, lemasnya terlalu diminati seperti ini. Hendak meninggalkan telefon sedetik pun curiga, kalau-kalau yang sudah berumahtangga pasti si suami membuka dan membaca pesanan ringkas kita. Pada orang yang terlalu syok kata-kata seperti rindu, sayang dan cinta kadang-kadang biasa sahaja tetapi sesetengah suami tidak dapat menerima. Dia pasti cemburu, pasti marah dan pasti menghentak, “Siapa ni?”.

Sesungguhnya begitulah situasi diminati. Andai dikatakan meminati itu sudah cukup seksa, diminati bertambah-tambah lagi seksanya. Dalam keadaan tidak boleh, sebab sudah berpunya, apabila lebih-lebih diminati senario berikutnya pasti sakit, susah dan perit. Ia teramat sakit jika pasangan adalah seorang yang amat cemburu, tidak rasional dan pemarah.

Selepas itu hidup akan menjadi tidak seceria selalu. Perasaan takut akan menyelubungi, pasangan tidak percaya lagi. Kadang-kadang di hadapan ibu bapa dan mentua pertengkaran terjadi, itu tidak termasuk hari-hari makan perli.

1 comments:

Aziela said...

menakutkan kalau jadi mcm nie...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...